Khamis, 6 Disember 2012

KSSR PENDIDIKAN KHAS MASALAH PEMBELAJARAN



PENDAHULUAN

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dibina selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan berlandaskan prinsip-prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, peluang pendidikan dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup. KSSR Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) lebih berfokus kepada penguasaan kemahiran bagi
memenuhi keperluan individu, tidak terlalu menekankan akademik dan tidak membebankan murid. Ini selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Bagi memenuhi keperluan individu, proses pengajaran dan pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran dibentuk secara fleksibel dan ini bertepatan dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, yang menyatakan “ guru-guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai
tujuan dan matlamat Pendidikan Khas”.

KSSR Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dibina dengan hasrat pembelajaran yang diperolehi di dalam bilik darjah dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kurikulum ini juga menyediakan pendidikan berkualiti untuk murid bermasalah pembelajaran supaya mereka menjadi insan yang seimbang,berdikari dan berjaya dalam kehidupan.

MATLAMAT

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) digubal dengan matlamat untuk mengembangkan potensi murid secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu serta bersesuaian dengan tahap kefungsian murid.Perkembangan ini juga meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan
berakhlak mulia.

OBJEKTIF

KSSR Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) bertujuan membimbing murid agar berupaya;

i. mengamalkan tingkah laku dan sikap positif dalam menguruskan kehidupan seharian yang lebih bermakna serta menjadi warganegara yang berguna
ii. mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran serta dapat berdikari dalam kehidupan seharian
iii. memperoleh kemahiran dan keterampilan ke arah kehidupan berkerjaya
iv. mengamalkan penjagaan kesihatan dan keselamatan diri dengan sempurna
v. menggunakan kemahiran berbahasa untuk berkomunikasi, berinteraksi dan bersosialisasi dengan menepati tatasusila masyarakat majmuk
vi. mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian bagi yang beragama Islam
vii. mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian
viii. melibatkan diri dalam aktiviti riadah
ix. menghargai keindahan alam dan warisan budaya
x. menggunakan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi seiring dengan perkembangan semasa

STANDARD KURIKULUM BERASASKAN TUNJANG

Organisasi Kurikulum Berasaskan Tunjang dibina bagi membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berketerampilan. Tunjang (Rajah 1) merupakan domain utama yang saling menyokong antara satu sama lain bagi membentuk
insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Domain bagi setiap tunjang adalah:
i. Komunikasi
ii. Kerohanian, Sikap dan Nilai
iii. Kemanusiaan
iv. Sains dan Teknologi
v. Perkembangan Fizikal dan Estetika
vi. Keterampilan Diri



KURIKULUM MODULAR BERASASKAN STANDARD

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) digubal dalam bentuk pernyataan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran diorganisasikan dalam bentuk modular yang
mengandungi elemen pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Standard Kandungan

Pernyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Standard Pembelajaran

Satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap Standard Kandungan.

PENDEKATAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran ,guru boleh mempelbagaikan pendekatan bagi mencapai kehendak Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran.

Antaranya adalah:
  1. Inkuiri
  2. Analisis Tugasan
  3. Belajar Melalui Bermain 
  4. Pengajaran Bertema 
  5. Pendekatan Kolaborasi (kumpulan pelbagai disiplin) 
  6. Konstruktivisme 
  7. Multi Sensori 
  8. Pembelajaran Kontekstual 
  9. Pembelajaran Interaktif 
  10. Pembelajaran Koperatif 
  11. Simulasi 
  12. Pembelajaran Masteri 
  13. Pembelajaran Pengalamian (experiential learning)

RANCANGAN PENDIDIKAN INDIVIDU

Definisi Rancangan Pendidikan Individu:
Rancangan Pendidikan Individu (RPI) adalah satu dokumen bertulis yang menjelaskan matlamat perancangan pendidikan yang dirancang untuk setiap murid berkeperluan khas dan dijadikan panduan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan boleh menyatakan tahap pencapaian murid.
(Buku Panduan Rancangan Pendidikan (RPI) Individu Murid-Murid
Berkeperluan Khas, 2000)

RPI ialah suatu program pengajaran berasaskan penilaian pelbagai disiplin yang disediakan bagi memenuhi keperluan murid pendidikan khas. RPI dirancang khusus bagi individu murid, dan dokumentasi dilakukan tentang segala pengubahsuaian dan penerapan ke atas program pembelajaran dan perkhidmatan yang disediakan. Justeru, RPI memaklumkan ibubapa dan pihak sekolah tentang keperluan individu murid dan bagaimana keperluan tersebut dirancang untuk dipenuhi. Bagi mencapai tujuan tersebut,perlu ada kerjasama dan kolaborasi antara pihak sekolah, ibubapa,dan murid itu sendiri, dengan dibantu oleh pegawai pendidikan peringkat negeri dan daerah, dan individu dari agensi atau khidmat sokongan lain.

RPI memperincikan antara lain:
i. Tahap prestasi sedia ada murid
ii. Perancangan akademik dan bukan akademik
iii. Matlamat pendidikan tahunan yang boleh dicapai murid
iv. Objektif pendidikan yang boleh diukur
v. Objektif, prosedur dan urutan pentaksiran bagi mengenalpasti perkembangan dalam pencapaian
vi. Perkhidmatan yang diperlukan oleh murid
vii. Perancangan, jangkamasa dan tarikh sesuatu perkhidmatan dapat disediakan untuk murid, dan
viii. Perancangan dan persediaan bagi membantu dan membimbing murid berinteraksi dengan persekitaran mereka.

PENTAKSIRAN

Pentaksiran di bilik darjah penting bagi mengetahui tahap penguasaan dan pemahaman murid tentang apa yang telah dipelajari. Pentaksiran boleh dijalankan secara formatif dan sumatif. Maklumat yang diperoleh akan membantu guru untuk menambah baik kaedah pengajaran dan hasil pentaksiran di bilik darjah juga dapat memberi maklum balas awal kepada guru untuk
merancang tindakan susulan dan penyediaan RPI bagi meningkatkan lagi penguasaan dan pemahaman murid. Antara kaedah pentaksiran dalam bilik darjah yang boleh dijalankan termasuk:

i. Pemerhatian : Kaedah ini sesuai untuk menilai individu dari aspek kemahiran, sikap dan nilai murni. Pentaksiran secara pemerhatian hendaklah disertakan dengan senarai semak.

ii. Ujian/ Kuiz : Ujian boleh dijalankan dalam bentuk kertas pensel atau lisan. Ujian kertas pensel boleh disediakan dalam bentuk soalan objektif atau subjektif manakala kuiz boleh dijalankan dalam bentuk lisan.

iii. Persembahan secara lisan : Persembahan secara lisan adalah penting untuk menilai kemahiran bertutur, keyakinan diri dan pengetahuan murid tentang konten yang dipelajari.

iv. Senarai semak : Senarai semak merupakan laporan individu tentang penguasaan pengetahuan, kemahiran serta sikap dan nilai murni.

v. Folio : Folio adalah kompilasi hasil kerja murid secara individu atau kumpulan. Contoh folio adalah buku skrap dan laporan.

vi. Esei : Esei mempamerkan tentang kemahiran murid untuk menyampaikan maklumat secara saintifik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan